
Mereka termasuk empat beradik iaitu Muhammad Hadrami, Husna Humaira, Muhammad Harraz, Muhammad Hawwas dan Hannan Humaira yang kematian ibu bapa Hasil Tahal serta Ida Haryanie Abdul Razak pada 11 Ogos serta 7 Okt 2021.
Ismail Sabri Yaakob, perdana menteri ketika itu turut berkongsi kasih sayangnya dengan empat beradik terbabit dan menyatakan komitmen membantu kelangsungan hidup mereka terutama dari aspek pendidikan.
Komitmen menjadi ‘pelindung’ kepada anak yatim akibat Covid-19 terutama daripada keluarga berpendapatan rendah diperkuatkan dengan penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) pada 23 Okt 2021 yang sehingga kini terus menabur budi.
Malah, kini kelompok penerima bantuan turut diperluaskan kepada kanak-kanak kematian ibu bapa serentak akibat kemalangan jalan raya dan bencana alam.
Dianggarkan 6,000 anak yatim kini bawah jagaan YKM yang menyediakan inisiatif Bantuan Kasih, Bantuan Persekolahan dan Bantuan Menara Gading hingga mereka berusia 18 tahun atau menamatkan pengajian peringkat tinggi selain mampu berdikari.
“Kewangan isu utama kerana ada yang dijaga nenek dan bapa saudara, bila tanya kerja pemandu lori…kita boleh bayangkan betapa sukar hidup mereka. YKM bantu untuk kurangkan beban mereka,” kata Ismail dalam temubual khas dengan FMT, baru-baru ini.
Pengerusi YKM itu turut berkongsi rancangannya untuk menyediakan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada kelompok terbabit dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Bagi memastikan usaha itu dapat diteruskan, YKM sebagai badan bukan berasaskan keuntungan mengambil pelbagai inisiatif menambah ‘kantung operasinya’ termasuk dengan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia pada 29 Sept ini di Persiaran Flora, Cyberjaya.
Menjadikan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai duta, program itu terbahagi kepada tiga larian iaitu ‘fun run 5km’, ‘race 10km’ dan ‘half marathon 21km’ yang dipecahkan kepada kategori lelaki, wanita, lelaki veteran serta wanita veteran.
Selain hadiah antara RM200 hingga RM800 bagi larian 10km dan 21km, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah yang hadiah utamanya sebuah kereta sumbangan Perodua.
“Saya mengajak orang ramai menyertai larian ini dan bersama dengan seluruh rakyat Malaysia lain untuk memastikan anak-anak yatim ini (di bawah YKM) terbela.

“Namun sumbangan boleh disalurkan bila-bila masa sahaja tidak terhenti selepas tamat larian itu,” kata Ismail Sabri.
Tekan di sini untuk pendaftaran dan maklumat lanjut berhubung Larian Keluarga Malaysia.