Bendahari agung MIC dilantik pengerusi parti di Perak

Bendahari agung MIC dilantik pengerusi parti di Perak

M Ramasamy dilantik sebagai pengerusi MIC Perak menggantikan V Elango.

mic
Bendahari Agung MIC M Ramasamy menerima watikah pelantikan sebagai pengerusi parti di Perak di Konvensyen MIC Perak 2024. (Gambar Facebook)
SUNGAI SIPUT:
Bendahari Agung MIC M Ramasamy dilantik sebagai pengerusi MIC Perak menggantikan V Elango bagi penggal 2024-2027.

Timbalan Presiden M Saravanan berkata Ramasamy bukan watak baharu dalam parti itu malah berpengalaman luas dalam arena politik di Perak, termasuk pernah menyandang jawatan pengerusi sewaktu era kepimpinan bekas presiden, G Palanivel.

“Saya rasa pelantikan ini akan menguatkan lagi sokongan ahli parti dan pada masa yang sama dapat menarik sokongan ahli baharu terutama dalam kalangan belia bagi menyokong parti ini.

“Bagi Elango pula, kita akan beri satu tugas penting kepada beliau dan ia lebih membabitkan bidang kuasa parti di peringkat pusat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen MIC Perak 2024 di Pusat Konvensyen Tun S Samy Vellu.

Terdahulu, Ramasamy menerima watikah pelantikan daripada Presiden SA Vigneswaran dalam konvensyen yang dihadiri lebih 500 perwakilan dan ahli parti.

Sementara itu, Saravanan berkata MIC menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu kestabilan negara diperkukuhkan tanpa diganggu gugat oleh mainan politik pihak tidak bertanggungjawab.

Titah berkenaan akan dijadikan sebagai dokongan bagi memastikan MIC kekal relevan dalam membela nasib kaum India.

“Kita akui buat masa ini, MIC berdepan cabaran penuh liku dalam memastikan parti ini terus relevan dan menjadi pilihan untuk membela nasib kaum India. Jadi, dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu kerajaan ini terus stabil, kami dengan rela hati menyokong penuh kerajaan demi memastikan tiada sebarang polemik politik berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.