
Merujuk kes sindiket penjualan diesel subsidi nelayan di Sibu sehingga mengaut keuntungan RM400 juta sejak 2012, ahli ekonomi berpendapat sumber itu perlu dipertahankan untuk mengelakkan ketirisan menyebabkan berbilion ringgit dana rakyat terbazir.
Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata selain penguatkuasaan berterusan di ‘lokasi panas’, insentif kepada pemberi maklumat juga boleh diperkenal dan ditingkatkan jumlahnya supaya pencegahan diambil lebih awal.
“Dalam keadaan itu ia aktiviti terbuka dan minyak disorok dalam lori atau tangki yang boleh dilihat ramai…jika nampak sahaja aktiviti mencurigakan boleh lapor terus kepada pihak berkuasa tanpa rasa takut.
“Jadi beri insentif dan lindungi mereka,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Op Liter untuk mengesan penyelewengan diesel subsidi bagi nelayan dan disyaki telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta sejak 2012.
Badan antirasuah itu turut menyerbu sebuah depoh simpanan minyak diesel di Sungai Bidut dengan menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel selain menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta.
Suspek terdiri dari anggota sindiket juga merasuah pegawai penguat kuasa sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan antaranya menyimpan diesel tanpa permit sah.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berkata risiko penyelewengan sentiasa ada dan sukar untuk memantaunya jika berlaku di wilayah luas seperti Sabah dan Sarawak.
Namun menurutnya, tugas pencegahan itu perlu dibuat bagi mengelakkan sumber negara jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab, antaranya dengan mengurangkan risiko rasuah.
“Gilirkan lebih kerap anggota penguat kuasa bertanggungjawab memantau bekalan diesel di kawasan itu untuk kurangkan risiko rasuah.
“Perbaiki juga sistem ganjaran untuk beri motivasi mereka tolak rasuah,” katanya.
Aimi Zulhazmi dari Universiti Kuala Lumpur berpendapat, kes di Sarawak menunjukkan selagi ada perbezaan harga ketara berbanding negara jiran, maka risiko penyeludupan akan terus berleluasa.
Beliau turut mencadangkan hukuman berat dikenakan seperti sebat dan penjara seumur hidup ke atas penyeludup barang bersubsidi.
“Jika dikenakan hukuman jenayah komersial yang hukumannya sekadar denda dan penjara tempoh singkat, dibimbangi tak beri kesan menggerunkan,” katanya.