
Tertuduh, Mohamad Feardaus Khairuddin, 50, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Feardaus didakwa dengan curangnya menipu dua lelaki berusia 58 dan 54 tahun untuk menyerahkan wang RM5 juta dalam urusan tawaran projek merekabentuk, membina, dan menyiapkan Lebuhraya Padang-Besar-Bukit Kayu Hitam-Jitra-Padang Terap-Teloi-Kulim-Changkat Jering (Northern Ekpressway Alternative Road) yang tidak wujud.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Seri Kembangan, Kajang antara 4 hingga 9 Nov 2022.
Bapa kepada enam anak itu juga turut didakwa menipu salah seorang individu yang sama bagi urusan pembayaran cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi projek yang sama berjumlah RM500,000 di sebuah cawangan bank di Kajang pada 13 Disember 2023, lapor Harian Metro.
Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli menawarkan jaminan keseluruhan RM80,000 bersama seorang penjamin.
Peguam R L Paniercelvan mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya adalah seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan sejak 10 tahun lalu dan adalah penyara tunggal keluarga.
Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai pasport baharu kerana sudah tamat tempoh dan memohon jaminan sebanyak RM40,000.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi terutama pengadu sama ada secara langsung atau pihak ketiga.
Sebutan semula kes ditetapkan 27 Sept.