
“Secara keseluruhan, operasi berjaya menyatupadukan semua agensi terlibat walaupun tidak berjaya daripada sudut pencarian mangsa,” katanya pada perbarisan akhir selepas operasi SAR ditamatkan hari ini.
“Terima kasih atas usaha yang dilakukan oleh semua. Semua anggota dan pegawai ini menunjukkan komitmen tinggi untuk sama-sama bekerja.”
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, operasi SAR yang memasuki hari kesembilan dihentikan dan kini memasuki fasa ‘search and recovery.’
Setakat 5.30 petang tadi, tinjauan Bernama di Jalan Masjid India mendapati khemah yang menempatkan pasukan SAR ditutup dengan kanvas biru, manakala orang ramai sudah dibenarkan melalui laluan pejalan kaki di depan lokasi kejadian.
Seramai 194 anggota dan pegawai bomba dan polis, termasuk unit K9, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium (IWK), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, serta agensi lain terbabit dalam operasi yang dijalankan di sekitar lokasi kejadian serta loji kumbahan di Pantai Dalam.
Antara kaedah yang digunakan dalam operasi itu termasuk selaman di enam lurang kumbahan serta loji IWK Pantai Dalam, teknik ‘flushing’, ‘jetting’, simulasi tong dan botol, namun kesemua usaha gagal membuahkan hasil.
Sehingga hari ini, mangsa belum ditemukan selain tiada sebarang petunjuk mengenai keberadaan wanita warga India berusia 48 tahun itu.
Walaupun hasil yang diharapkan tidak dicapai pada setiap hari operasi, semangat anggota dan pegawai terlibat dalam operasi SAR tidak luntur, malah mereka terus komited mencari mangsa.
Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy hilang selepas terjatuh ke lubang benam sedalam 8m susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama, melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan.