Malaysia terus teroka minyak di perairan Sarawak, kata Anwar

Malaysia terus teroka minyak di perairan Sarawak, kata Anwar

Perdana menteri berkata penerokaan minyak yang dilakukan oleh Malaysia berada di dalam perairan negara.

sarawak-oil-rig-petronas
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun Beijing menghantar bantahan, Malaysia tetap meneruskan penerokaan minyak di perairan Sarawak kerana ia penting untuk ekonomi negara. (Gambar AFP)

VLADIVOSTOK (Rusia): Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak di dalam kawasan wilayahnya walaupun terdapat permintaan China untuk menghentikan serta-merta aktiviti di perairan Sarawak itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau pasti bahawa penerokaan minyak yang dilakukan oleh Malaysia berada di dalam perairan negara, tetapi akan menjelaskan kedudukannya kepada China.

“China adalah rakan kita, tetapi kita perlu beroperasi di dalam kawasan perairan kita untuk memastikan kita mendapat manfaat, termasuk penggerudian dalam kawasan wilayah negara.

“(Walaupun) Beijing hantar bantahan sebab dia rasa tu kawasan dia, kita terpaksa teruskan (aktiviti) sebab ini soal survival ekonomi negara kita,” kata perdana menteri kepada wartawan Malaysia dalam sidang media di hari terakhir lawatan kerja ke Rusia.

Anwar kini berada di Vladivostok di timur jauh Rusia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9.

Perdana menteri berkata Malaysia dan China sentiasa dapat menyelesaikan pertikaian mereka melalui rundingan seperti dua rakan.

“Jika mereka terus mempertikaikan, kita boleh mendengar, dan mereka perlu mendengar, tetapi ia tidak boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Baru-baru ini muncul laporan berita yang menyatakan bahawa Beijing melalui nota diplomatik menuntut Malaysia menghentikan serta-merta semua aktiviti minyak dan gas di kawasan kaya minyak di perairan Sarawak, walaupun kawasan itu terletak dalam wilayah perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.