38 Orang Asli dipindah ke balai raya akibat pencemaran bahan kimia

38 Orang Asli dipindah ke balai raya akibat pencemaran bahan kimia

Pemindahan 10 keluarga itu selepas penduduk dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.

Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff berharap Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkaitan segera mengambil tindakan, termasuk membersihkan kawasan Sungai Linggiu di Kota Tinggi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seramai 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan di Kota Tinggi berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang susulan pencemaran bahan kimia di kampung itu sejak Khamis lalu.

Pemindahan 10 keluarga itu selepas penduduk dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.

Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff bimbang pencemaran bau itu akan bertambah buruk.

“Pencemaran bau kimia tersebut dikesan Rabu lalu dan usaha memindahkan penduduk dilakukan pihak Adun Panti, Hahasrin Hashim pada malam Khamis.

“Pemindahan perlu dilakukan kerana bau sangat kuat berikutan lokasi pembuangan bahan kimia itu di Sungai Linggiu hanya berapa kilometer dari Kampung Orang Asli Pasir Intan,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurutnya, penduduk kampung berjaya menahan sebuah lori tangki membuang cecair hitam dipercayai bahan kimia ke sungai pada hari kejadian.

Beliau mendakwa itu kali ketiga pihak terbabit membuang bahan kimia di sungai berkenaan sehingga memberi kesan teruk kepada penduduk.

“Pemandu dan kelindan lori mengaku mereka cuma mengambil upah dari sebuah kilang di Skudai untuk membuang bahan kimia di sungai tersebut. Kedua-duanya diserahkan kepada polis untuk tahanan reman dan kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.”

Hamdan berharap Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkaitan segera mengambil tindakan, termasuk membersihkan kawasan sungai itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.