Boleh bincang 3R tapi jangan hasut, PM beritahu pembangkang

Boleh bincang 3R tapi jangan hasut, PM beritahu pembangkang

Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan hanya mahu menyekat elemen hasutan daripada berleluasa kerana ia boleh memporak-perandakan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-25 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di KL Sentral.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan pembangkang konon kerajaan menghalang isu berkaitan kaum, agama, raja (3R) dibincangkan.

Anwar menegaskan, kerajaan hanya mahu menyekat elemen hasutan daripada berleluasa kerana ia boleh memporak-perandakan negara.

“Sebelum ini pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) timbul masalah, bila bangkit semula isu keganasan ala Isis, Al-Qaeda yang menyeludup masuk dalam negara atau perkauman sempit dirungkai 3R, ada pembangkang kata zalim.

“Tidak betul, nak bicara soal agama Islam, agama lain, kaum, rasa tak puas hati, nak bantah diizinkan…yang tidak diizinkan hasutan.

“Ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum sebab apa pun alasan, saya tidak akan tolak ansur untuk jamin keselamatan rakyat dan negara,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-25 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di KL Sentral.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa ahlinya kekal tabah dalam menghadapi politik kotor, tidak demokratik dan tidak berperlembagaan yang dimainkan lawan.

“Perjuangan kita untuk mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan agama Islam tanpa menjejaskan hak kaum dan agama lain sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dikatakan kesalahan 3R.

“Kita akan dituduh menghasut dan boleh didakwa di mahkamah, walaupun tujuan kita semata-mata untuk menegakkan perjuangan parti kita yang sah,” katanya sempena ulang tahun kelapan Bersatu.

Sementara itu, Anwar berkata setiap parti politik dalam negara juga sedar institusi beraja sewajarnya tidak diheret ke kancah politik.

“Umpamanya isu pendakwaan libatkan singgungan terhadap raja-raja, dalam Majlis Raja-raja Melayu mereka bukan terlibat politik, tak mudah jawab serangan tiap hari.

“Sekiranya kecaman dibuat yang jejaskan tunggak Perlembagaan negara tindakan harus diambil, tidak ada parti dalam Malaysia pertikai untuk tidak menggugat sistem beraja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengingatkan Suhakam supaya kefahaman perlu diberikan dalam isu melibatkan kepentingan umum seperti meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom kerana ia berisiko mengundang kerosakan.

“Tidak semua orang faham kebebasan itu sekali gus tanggungjawab, kalau tidak dikawal undang-undang negara akan porak-peranda.

“Ada inisiatif dan ikhtiar yang baik…dibawa ICERD, Statut Rom, walaupun bunyi indah, tapi kalau tiada kecelikan fahaman itu akan bawa reaksi yang merosakkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.