Malaysia terus juarai hab halal global, kata Mat Sabu

Malaysia terus juarai hab halal global, kata Mat Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata kenyataan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berhubung sijil halal adalah pandangan peribadi.

Mohamad Sabu pada sidang media selepas ‘media tour’ Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
SERDANG:
Malaysia akan terus menjuarai hab halal global, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP Teresa Kok berhubung pensijilan halal adalah pandangan peribadi.

“Itu tak komen apa…itu pandangan peribadi dan Malaysia (akan) terus menjuarai hal hab halal.

“Pandangan yang bersifat peribadi itu ia akan berlalu,” katanya pada sidang media selepas ‘media tour’ Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Pada 6 Sept lalu, Kok berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Naib pengerusi DAP berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Komen Kok menyusul kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal, kecuali premis menjual daging babi atau minuman beralkohol.

Susulan kenyataan itu, Kok dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman esok selepas kertas siasatan dibuka terhadapnya berkait 3R (kaum, agama, raja) mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sementara itu, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu berkata sebanyak 16 negara akan menyertai Maha kali ini antaranya Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Katanya, persiapan untuk acara yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 Sept ini sudah 90%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.