
Lim mengulangi bahawa Kok hanya menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen dan tidak melakukan kesalahan.
“Orang ramai daripada semua lapisan masyarakat, sama ada Islam atau bukan Islam, telah menyatakan pandangan mereka,” katanya pada sidang media selepas polis selesai merakam kenyataan Kok di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini.
“Kita berharap ini akan ditangani secara profesional, di mana seorang Ahli Parlimen perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pengundi mereka.”
Kok menghabiskan dua jam untuk direkodkan keterangan di Bukit Aman, sambil ditemani peguamnya, Syahredzan Johan dan Ramkarpal Singh.
Kira-kira 40 ahli DAP, termasuk Lim dan penasihat parti Tan Kok Wai, berhimpun menyokong Kok.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Kok dilaporkan berkata ia akan menyukarkan operasi perniagaan dan membebankan perniagaan kecil.
Syahredzan berkata Kok disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata polis bertanyakan lebih 20 soalan kepadanya tetapi tidak merampas telefonnya.
Ramkarpal berharap polis menjalankan siasatan penuh dan merekodkan kenyataan pihak lain jika diperlukan.
Pada sidang media itu, Kok berkata beliau tidak pernah menentang pensijilan halal, peranan Jakim, atau tidak menghormati Islam.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Kok menarik balik kenyataannya kerana didakwa menyentuh 3R.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga menegur Kok kerana ‘mencetuskan kontroversi tidak relevan’, dengan menyatakan bahawa kenyataan naib pengerusi DAP itu tidak mewakili pandangan Pakatan Harapan (PH).