32 bersaing pemilihan DAP P Pinang

32 bersaing pemilihan DAP P Pinang

Selepas Chow Kon Yeow menarik diri, 15 individu dipilih menganggotai jawatankuasa negeri baharu akan memilih pengerusi menggantikannya.

Antara calon terkenal ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.
PETALING JAYA:
Seramai 32 ahli DAP Pulau Pinang akan bersaing untuk jawatan dalam jawatankuasa 2024/2027 pada pemilihan parti 22 Sept ini.

Lima belas calon berjaya akan memilih pengerusi DAP Pulau Pinang baharu dalam kalangan mereka.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang dicalonkan, sudah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan pengerusi negerinya. Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata Chow akan terus berkhidmat sebagai ketua menteri sehingga tamat penggalnya.

Bekas ketua menteri Lim Guan Eng juga tidak bertanding pemilihan kali ini.

Antara calon terkenal Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Ahli Parlimen Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh serta Exco Zairil Khir Johari dan Jagdeep Singh Deo.

Timbul spekulasi Hui Ying dan Sim pesaing utama bagi jawatan pengerusi yang berpotensi menjadi ketua menteri. Tetapi kedua-duanya tidak layak menjadi ketua menteri ketika ini kerana bukan Adun.

Pemilihan itu akan diadakan semasa Konvensyen DAP Pulau Pinang di Arena Setia SPICE, Bayan Baru.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi) dan Vivian Wong (Ahli Parlimen Sandakan) akan berucap pada konvensyen itu yang akan dirasmikan Loke.

Minggu lalu, Chow mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan pengerusinya walaupun menerima pencalonan.

Beliau berkata keputusannya sejajar rancangan penggantian dibincangkan dengan Loke apabila dilantik untuk penggal kedua sebagai ketua menteri.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu turut menegaskan beliau akan menjadi naib pengerusi DAP walaupun meninggalkan kepimpinan parti negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.