PRK Mahkota: Calon PN ‘biasa-biasa’, BN ada faktor ‘wow’

PRK Mahkota: Calon PN ‘biasa-biasa’, BN ada faktor ‘wow’

Penganalisis berkata walaupun kedua-duanya anak tempatan calon BN dilihat lebih 'ke depan' kerana reputasi sebagai ketua Pemuda.

Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) akan mewakili kerajaan perpaduan pada PRK DUN Mahkota manakala Mohamad Haizan Jaafar daripada Bersatu membawa cabaran PN.
PETALING JAYA:
Selaku ketua Pemuda Umno Kluang calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Mahkota dilihat memiliki faktor ‘wow’ berbanding wakil Perikatan Nasional (PN).

Syed Hussien Syed Abdullah yang juga ahli Majlis Perbandaran Kluang (Zon Seri Impian) akan mewakili kerajaan perpaduan pada pilihan raya 28 Sept ini manakala Mohamad Haizan Jaafar daripada Bersatu membawa cabaran PN.

Syed Arabi Idid.

Penganalisis politik Syed Arabi Idid berkata walaupun kedua-duanya anak tempatan, calon BN lebih ‘ke depan’ kerana reputasi sebagai ketua Pemuda.

Katanya, PN meletakkan Haizan yang juga bekas pemain bola sepak Johor dan ahli jawatankuasa Bersatu Kluang mungkin kerana tiada calon ‘heavyweight’ yang sesuai dipertaruhkan gabungan itu.

“Mungkin PN sudah tiada calon lain. Jika dilihat calon BN lebih banyak faktor ‘wow’ berbanding PN. Bagaimanapun bergantung kepada kedua-dua parti bagaimana nak menonjolkan calon mereka,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, ketika mengumumkan calonnya Setiausaha Agung PN dan Bersatu Hamzah Zainudin percaya Haizan mampu membantu parti menawan DUN Mahkota.

BN sebelum ini mengumumkan Syed Hussien akan meneruskan legasi penyandang, Sharifah Azizah Syed Zain.

PRK itu diadakan susulan kematian Sharifah, 63, yang juga ketua Wanita Umno Kluang akibat pendarahan dalaman pada 2 Ogos lalu.

Sementara itu, Syed Arabi mengingatkan BN tidak boleh terlalu yakin dan selesa walaupun calonnya ‘lebih baik’.

Azmi Hassan.

“Tidak mustahil akan ada isu nasional yang boleh dimainkan PN di PRK Mahkota nanti,” katanya.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata BN dan PN dilihat mempunyai strategi baik kerana meletakkan calon tempatan.

Katanya, namun tindakan PN meletakkan calon bukan ‘heavyweight’ mungkin kerana mengetahui sukar merampas kerusi Mahkota.

Bilcher Bala.

“Bagi saya Bersatu letak muka baharu kerana kalau tewas ada sebabnya iaitu bukan calon ‘heavyweight’. Kalau calon ‘heavyweight’ tewas, ini akan melukakan Bersatu,” katanya.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berpandangan calon PN sukar mengalahkan BN walaupun turut meletakkan anak tempatan.

“Calon PN ‘biasa-biasa’. Sedangkan BN meletakkan calon hebat selaku ketua Pemuda Umno Kluang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.