Kerajaan perpaduan sekali lagi perlihat kerjasama erat, kata Zahid

Kerajaan perpaduan sekali lagi perlihat kerjasama erat, kata Zahid

Zahid Hamidi berkata jentera semua parti dalam kerajaan bersama memastikan kemenangan calon BN.

Pimpinan parti-parti kerajaan perpaduan bersama calon BN Syed Hussien Syed Abdullah sempena PRK DUN Mahkota. (Gambar Bernama)
KLUANG:
PRK DUN Mahkota sekali lagi memperlihatkan kerjasama erat antara parti politik dalam Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kerjasama terserlah di siri PRK sebelum ini apabila jentera parti saling membantu parti yang bertanding.

“Kita (BN) tolong DAP di Kuala Kubu Bharu kemudian kita tolong PKR pada PRK Sungai Bakap dan semua orang juga membantu kita (BN) baru-baru ini semasa PRK Nenggiri.

“Kali ini yang bertanding ialah BN tetapi jentera semua parti dalam kerajaan perpaduan turut bersama-sama kita bagi memastikan kemenangan kerusi DUN Mahkota kepada calon kita,” katanya pada pelancaran Pusat Operasi Perpaduan PRK DUN Mahkota.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, dan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian manakala hari undi awal ialah pada 24 Sept.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.