
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata sehingga kini pihaknya menerima 35 laporan dengan 34 daripanya di Sabah manakala satu di Kuala Lumpur.
“Semakan kita atas rekod yang ada, pemilik video ini warga Malaysia yang beralamat di Sabah, dia juga mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol).
Beliau berkata, video itu dirakam pada 16 Sept lalu di hadapan bangunan Parlimen Victoria Melbourne, Australia, bagaimanapun dimuat naik pada 20 Sept.
Katanya, kes itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman bawah Seksyen 41 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Video berdurasi lapan minit 13 saat itu dimuat naik di Facebook ‘DemiRakyat Channel’ dua hari lalu dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
Hantaran itu turut meminta polis menjalankan siasatan mengenai tindakan kumpulan tersebut.
Kumpulan tersebut bertindak menurunkan bendera Malaysia dipercayai sebagai simbolik kepada ‘menurunkan’ penjajahan Malaysia di Sabah dan Sarawak.
Manakala, tindakan menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada separuh tiang didakwa sebagai protes untuk menyampaikan mesej mereka mengenai penjajahan terhadap kedua-dua negeri.