Banteras aliran menyimpang secara sepadu, tegas PM

Banteras aliran menyimpang secara sepadu, tegas PM

Jakim dan agensi penguatkuasa perlu ambil tindakan bersepadu bagi membanteras 'segala bentuk aliran yang menyimpang sehingga ke akar umbi'.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membincangkan soal pemikiran dan beberapa aliran yang menyimpang dengan pegawai tertinggi Jakim hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Membanteras aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi, menurut perdana menteri.

Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu dalam pertemuan dengan pegawai tertinggi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hari ini, membincangkan soal pemikiran dan beberapa aliran yang menyimpang.

Katanya, ini menuntut tindakan serius dan bersepadu oleh Jakim dan agensi penguatkuasa bagi menyiasat dan membanteras ‘segala bentuk aliran yang menyimpang sehingga ke akar umbi’.

“Intiha, saya tegaskan bahawa kerajaan mengambil serius perkara sebegini yang menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di Malaysia,” katanya di Facebook.

Penegasan ini berlatarkan penemuan buku-buku dan risalah berkaitan Aurad Muhammadiah dalam serbuan ke atas premis yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) baru-baru ini.

Pada 20 Sept lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Dalam pada itu, pertemuan Anwar dan Jakim hari ini turut membincangkan sektor halal.

“Platform ini penting, mengambil kira perkembangan mutakhir khususnya mengenai prospek ekonomi dalam sektor halal di dalam dan luar negara, yang menagih kebersamaan antara agensi persekutuan bagi membantu merancakkan lagi industri halal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.