
PETALING JAYA: Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 3,503 orang daripada 1,141 keluarga yang ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah setakat 8 pagi tadi berbanding 2,771 mangsa daripada 924 keluarga pada 8 malam tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata mangsa banjir di daerah Kubang Pasu paling ramai, iaitu 1,324 orang daripada 459 keluarga di sembilan PPS.
Menurutnya, Kota Setar mencatatkan 1,197 mangsa daripada 373 keluarga di lapan PPS, manakala 549 mangsa daripada 195 keluarga berlindung di empat PPS di Pokok Sena.
“Pendang pula mencatatkan 433 mangsa daripada 114 keluarga di dua PPS,” katanya menurut Harian Metro.
Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan lima sungai di Kedah melepasi paras bahaya setakat 7.30 pagi tadi.