
Ketua Polis Hilir Perak Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 45 tahun.
Menurut siasatan awal, mangsa menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak platform itu pada 24 Julai lepas, ketika berada di tempat kerjanya di Hutan Melintang, Bagan Datuk.
Suspek yang menghubunginya mendakwa mangsa menjalankan perniagaan barangan kecantikan tanpa lesen di platform tersebut, namun perkara itu dinafikan mangsa.
Suspek kemudian meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dengan menyambungkan talian telefon kepada suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sjn Badrul’.
“Mangsa dimaklumkan terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta terdapat waran tangkap terhadapnya,” kata Ahmad Adnan, lapor Bernama.
“Mangsa (yang) percaya dengan kata-kata suspek memindahkan keseluruhan wang simpanan miliknya dan ibunya kepada dua institusi kewangan tempatan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM445,050.”
Ahmad Adnan berkata, suspek juga memaklumkan kepada mangsa transaksi itu perlu dilakukan bagi tujuan siasatan dan membersihkan namanya.
Suspek berjanji akan memulangkan semula wang mangsa setelah selesai siasatan, namun setelah hampir dua bulan mangsa menunggu, wangnya tidak dikembalikan dan ‘Sjn Badrul’ gagal dihubungi.
“Pada 9 Okt 2024, mangsa membuat laporan polis kerana mengesyaki telah ditipu,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Adnan menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan daripada terus menjadi mangsa ‘phone scam’, antaranya dengan tidak melayan panggilan telefon atau mesej daripada individu mahupun nombor telefon yang tidak dikenali.