
Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata tindakan pemimpin terbabit merebut jawatan naib presiden dilihat melanggar keputusan disepakati mereka yang turut menghadiri mesyuarat MPT.
Beliau yang enggan menamakan pemimpin itu berkata, mereka sedia maklum semua pihak bersetuju memberi mandat kepada Muhyiddin yang mencadangkan lima jawatan tertinggi daripada presiden, timbalan dan tiga kerusi naib tidak dipertandingkan.
Beliau turut mendakwa Muhyiddin ‘amat sedih dan kecewa’ terhadap pemimpin terbabit yang melanggar “pelan kompromi” itu.
“Ini tindakan tidak bertanggungjawab kerana keputusan telah dibuat secara kolektif. Bagi yang mencabar (jawatan naib presiden) tetapi tidak berada dalam pimpinan, saya rasa boleh diterima.
“Tetapi, mereka (ahli MPT) yang menawarkan diri sebagai calon naib presiden yang telah pun bersetuju dari awal menyerahkan mandat ini kepada presiden, akhirnya mereka juga yang bertanding.
“Bila berlaku pertandingan sebegini, ia menimbulkan tanda tanya apakah mandat presiden ini sebenarnya tidak perlu dituruti,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Julai lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau diberi mandat oleh MPT untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.
Menerusi “pelan kompromi”, Muhyiddin kekal menerajui Bersatu dan dibantu Hamzah Zainudin sebagai timbalannya, manakala Ronald Kiandee dan Radzi Jidin, selain Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.
Selepas pencalonan dimuktamadkan minggu lalu, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding, manakala enam calon merebut tiga kerusi naib presiden, iaitu Kiandee, Radzi, Ahmad Faizal, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
Mengulas lanjut, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, keadaan itu meletakkan Muhyiddin dalam keadaan amat sukar dan memberi gambaran tidak baik terhadap parti.
“Keputusan disepakati dilanggar orang membuat persetujuan tersebut. Jadi, ini satu benda yang tidak baik untuk parti. Imej presiden itu terjejas akibat pelanggaran mandat yang mereka sendiri bersetuju pada awalnya.”
Masih boleh tarik diri
Fayhsal berkata, semua calon termasuk ahli MPT bertanding jawatan naib presiden terbabit boleh menarik diri sebelum pengundian pada 2 Nov ini bagi menunjukkan mereka “patuh” kepada formula dicadangkan presiden.
Beliau turut mengakui ramai pemimpin muda, termasuk dirinya dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berhasrat mencabar jawatan naib presiden, namun menarik diri kerana “akur dan taat” arahan Muhyiddin.
“Demi menjaga maslahah dan kesepaduan parti, saya dan beberapa rakan termasuk Wan Saiful dan Saifuddin Abdullah menarik diri kerana tak nak langgar arahan dan mandat kami sendiri berikan kepada presiden supaya formula itu tidak memecahbelahkan parti.”
Menurutnya, demokrasi pemilihan disifatkannya “hidup mati Bersatu menuju PRU16” tetap subur, walaupun mengikut petua tiada pertandingan yang dicadangkan Muhyiddin.
“Demokrasi masih subur, pertandingan masih wujud, tetapi lebih tersusun, lebih terpandu dengan petua dan nasihat ditunjukkan presiden.”