Anwar umum bantuan tunai ‘tertinggi’ dalam sejarah

Anwar umum bantuan tunai ‘tertinggi’ dalam sejarah

Kerajaan memperuntukkan RM13 bilion bagi STR dan Sara, berbanding RM10 bilion dalam belanjawan sebelum ini.

Menerusi Belanjawan 2025, pemberian Sara juga diperluas membabitkan 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah, berbanding 700,000 penerima tahun ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan memperuntukkan RM13 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) tahun depan, naik RM3 bilion berbanding tahun ini, umum Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, peningkatan itu membolehkan kadar maksimum diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700, dengan sembilan juta penerima atau 60% rakyat dewasa akan menerima manfaat.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, pemberian Sara juga diperluas membabitkan 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah, berbanding 700,000 penerima tahun ini.

Katanya, bantuan RM100 sebulan itu akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula April depan untuk pembelian barangan asas seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, barangan persekolahan di lebih 600 pasar raya.

Sementara itu, penerima STR kategori bujang akan menerima RM600, tambahnya.

“Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup,” kata Anwar.

“Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.”

Anwar turut mengumumkan bayaran bagi STR Fasa Empat tahun ini akan disalurkan kepada penerima bermula 7 Nov depan, melibatkan peruntukan RM1.7 bilion.

Bantuan JKM naik RM2.9 bilion

Anwar berkata, peruntukan bantuan tunai bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditambah kepada RM2.9 bilion, berbanding RM 2.4 bilion tahun ini.

Ini membabitkan kadar Bantuan Warga Emas naik kepada RM600 sebulan, berbanding RM500 sebelum ini, dan kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin naik RM250, berbanding RM200 ringgit, bagi seorang anak berusia 6 tahun dan ke Bawah, RM200 bagi anak berusia dalam lingkungan 7 hingga 18 tahun, dengan kadar maksimum RM1,000 bagi satu keluarga.

Untuk Wilayah Persekutuan, kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada RM150 ringgit berbanding RM100, dengan kadar maksimum RM500 sebulan.

“Jika dihitung keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM, isi rumah miskin dengan tiga anak layak menerima bantuan lebih RM13,000 setahun, suatu peningkatan amat ketara berbanding RM11,000 pada masa ini.

“Ini bermakna tidak ada rakyat yang berpendapatan kurang RM1,100 sebulan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.