‘Apa jenayah terancang dilakukan ahli GISBH’, wakil PN mohon penjelasan kerajaan

‘Apa jenayah terancang dilakukan ahli GISBH’, wakil PN mohon penjelasan kerajaan

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta pihak berkuasa menjelaskan pertuduhan jenayah dirancang dilakukan tertuduh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan berkata PN menerima Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) namun menolak jika ia disalah guna.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan pendakwaan berkait jenayah terancang dihadapi 22 ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Mahkamah Sesyen Selayang, Selasa lalu.

Dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta pihak berkuasa menjelaskan pertuduhan jenayah dirancang dilakukan tertuduh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali.

“Pada 23 Okt, 22 individu termasuk CEO GISBH didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana dikatakan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Apakah kesalahan dilakukan mereka? Tuduhannya? Apa jenayah terancang mereka lakukan,” katanya.

Selasa lalu, Nasiruddin bersama isterinya Azura Md Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.

Turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam Mohammad Adib At-Tamimi Asaari, 32, dan 19 individu lain.

Tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang, pada Oktober 2020 hingga 11 Sept lalu.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.

Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS turut meminta kerajaan menjelaskan pendiriannya berhubung kenyataan RSN Rayer (PH-Jelutong) semalam yang menentang penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

“PN kami terima Sosma tetapi tak terima salah gunanya termasuk terhadap ahli GISBH,” katanya.

Rayer kemudiannya bangun dan menegaskan beliau akan menentang penggunaan Sosma jika disalah guna dan bersedia menawarkan khidmat guaman bagi membela mereka.

“Kalau diperlukan saya sedia beri perkhidmatan percuma untuk membela mereka,” kata wakil rakyat DAP itu.

“Hanya Jelutong sahaja yang berani di sini, tahniah Jelutong,” kata Takiyuddin dalam maklum balasnya kepada kenyataan Rayer terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.