PGA rampas 13 lembu seludup dari Thailand

PGA rampas 13 lembu seludup dari Thailand

Anggota PGA Batalion 8 menahan sebuah lori dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira 12.45 tengah hari Jumaat.

Pasukan Gerakan Am menahan sebuah lori membawa 13 ekor lembu seberat 7,000kg yang dianggarkan bernilai RM107,270 di Kampung Bukit Tandak, semalam. (Gambar PGA Briged Tenggara)
KOTA BHARU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu dengan penahanan sebuah lori membawa 13 ekor lembu di Kampung Bukit Tandak, Pasir Mas, semalam.

Komander PGA Briged Tenggara, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata semua lembu seberat 7,000kg yang dianggarkan bernilai RM107,270 itu dipercayai diseludup dari Thailand.

“Rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota Batalion 8 menahan sebuah lori dinaiki dua lelaki berusia 22 dan 42 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira 12.45 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan menemui 13 lembu dalam lori Hicom dan tanpa dokumen sah. Kedua-dua lelaki itu dipercayai menjadi penghantar lembu ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.