Kerajaan akui harga barangan akan naik apabila cukai naik

Kerajaan akui harga barangan akan naik apabila cukai naik

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying memberi jaminan kerajaan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban B40.

Lim Hui Ying
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, kerajaan bekerjasama rapat dengan industri untuk memastikan kestabilan barangan keperluan, termasuk beras dan minyak masak peket. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan mengakui harga barangan akan meningkat berikutan kenaikan cukai dalam sektor tertentu, khususnya yang melibatkan bahan api dan logistik.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying memberi jaminan bahawa kerajaan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk golongan B40, termasuk subsidi bersasar.

Bagaimanapun, beliau yakin kenaikan harga akan berlaku secara terkawal.

“Kerajaan menjangka kenaikan harga barang ini kekal pada kadar terkawal, namun kita tidak menafikan peningkatan kecil ini disebabkan faktor luaran seperti harga komoditi dan isu rantaian bekalan.

“Dalam hal ini, kenaikan gaji minimum adalah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat yang berpendapatan rendah, sekali gus membantu mereka menangani kos sara hidup dengan lebih baik,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) tentang pembaharuan fiskal yang perlu diutamakan oleh kerajaan dengan kewujudan cukai baharu yang memberi kesan pada kos sara hidup.

Menerusi Belanjawan 2025, berkuat kuasa 1 Mei 2025, cukai jualan ke atas barangan bukan keperluan asas, terutamanya barangan premium yang diimport seperti salmon dan avokado, akan meningkat, sementara barangan makanan asas kekal bebas cukai.

Selain itu, cukai perkhidmatan akan diluaskan merangkumi perkhidmatan baharu, seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi dan transaksi perniagaan ke perniagaan, juga mulai 1 Mei 2025.

Terdahulu, kadar cukai jualan dan perkhidmatan dinaikkan daripada 6% kepada 8% bermula 1 Mac tahun ini.

Lim turut menjelaskan bahawa kerajaan bekerjasama rapat dengan industri untuk memastikan kestabilan barangan keperluan, termasuk beras dan minyak masak peket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.