Lipis pula banjir, 218 mangsa di 2 PPS

Lipis pula banjir, 218 mangsa di 2 PPS

Jumlah mangsa banjir di Raub pula meningkat kepada 223 orang daripada 66 keluarga di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.

pps banjir
Dua pusat pemindahan sementara dibuka di Lipis yang menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat apabila Lipis menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu, menurut Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 9 pagi tadi.

Laporan itu memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis yang menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga di Sekolah Kebangsaan Kechaui Tui (133 orang daripada 34 keluarga) dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui (85 orang daripada 27 keluarga).

Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam mencatatkan pertambahan jumlah mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.

Enam PPS itu ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.

“Jumlah keseluruhan banjir di negeri ini melibatkan Lipis dan Raub setakat 9 pagi seramai 441 mangsa daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS,” menurut laporan itu.

Laman sesawang infobanjir.water.gov.my memaklumkan enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada, iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.