Negara enggan terima resolusi PBB perlu disingkir, kata Anwar

Negara enggan terima resolusi PBB perlu disingkir, kata Anwar

Tanpa menyebut nama negara, tetapi merujuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, perdana menteri berkata, mengusir negara itu satu-satunya pilihan yang ada.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya, Kaherah pada Ahad. (Gambar Bernama)
KAHERAH:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mencadangkan mana-mana negara enggan mengiktiraf resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu disingkirkan daripada badan dunia itu.

Tanpa menyebut nama negara, tetapi merujuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, Anwar berkata, mengusir negara tersebut satu-satunya pilihan yang ada.

“Kita berdepan dengan situasi yang kompleks kerana penolakan Israel untuk memberikan bantuan kemanusiaan sehingga berlaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Kita telah mengambil pendirian sangat tegas dalam hal ini untuk membantah dengan serius. Sebenarnya, saya telah mengemukakan idea bahawa apabila sesebuah negara menolak untuk mengiktiraf peraturan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB, satu-satunya pilihan adalah menyingkirkan mereka dari PBB.

“Ada pandangan yang perlu dipertimbangkan, tetapi saya faham betapa kompleksnya situasi ini kerana seperti yang Presiden (El-Sisi) katakan, keutamaan beliau adalah untuk menghentikan permusuhan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi selepas pertemuan dua hala di Istana Al-Ittihadiya di sini, pada Ahad.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas El-Sisi sempena lawatan rasmi empat harinya ke Mesir bermula Sabtu.

Beliau turut mewakili rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada presiden dan rakyat Mesir atas bantuan mereka dalam memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia kepada Palestin di Gaza berjalan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.