Produktiviti penjawat awam penentu kejayaan SSPA, kata KSN

Produktiviti penjawat awam penentu kejayaan SSPA, kata KSN

Shamsul Azri Abu Bakar berkata penjawat awam perlu menganggap diri sebagai pelanggan untuk memahami keperluan rakyat.

Pekerja Kerajaan
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata kenaikan gaji menerusi SSPA perlu disertakan peningkatan mutu kerja, komitmen dan dedikasi penjawat awam.
PUTRAJAYA:
Produktiviti penjawat awam menjadi teras keberkesanan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa 1 Dis ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, kenaikan gaji menerusi inisiatif itu perlu disertakan peningkatan mutu kerja, komitmen dan dedikasi penjawat awam.

“Bila kita cerita mengenai produktiviti, penjawat awam kena bagi lebih. Anda perlu berkhidmat dengan lebih baik, perlu berikan lebih banyak kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas sempena 100 hari pelantikannya sebagai KSN ke-16 pada 19 Nov ini.

Menurutnya, SSPA bukan saja memfokuskan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam, tetapi juga bertujuan mencetus lonjakan motivasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Shamsul Azri berkata, langkah seperti kenaikan gaji, anjakan tugas atau “job rotation” serta rasionalisasi perjawatan dan pengurangan pertindihan fungsi dalam pelbagai jabatan akan memperkukuhkan struktur serta tatakelola perkhidmatan awam.

“Ini memastikan setiap anggota mempunyai peluang mengembangkan kemahiran serta beradaptasi dalam pelbagai bidang.”

Mengenai kelemahan segelintir penjawat awam, khasnya dari segi produktiviti, beliau menekankan pentingnya penjawat awam menganggap sebagai pelanggan untuk memahami keperluan rakyat.

“Bila kita tak meletakkan diri sebagai pelanggan, kita kecenderungan tidak bersungguh-sungguh berkhidmat kepada rakyat, kita tak komited. Kita perlu berikan yang terbaik kepada rakyat.”

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata akan menumpukan lima bidang keberhasilan reformasi (BKR) yang diperkukuhkan dengan 20 strategi dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam digagaskannya.

Lima BKR itu ialah Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan serta Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.

“Saya juga akan menggunakan pendekatan Associated and Integrated Strategy atau Strategi Bersekutu dan Bersepadu dalam usaha merealisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam. Associated (Bersekutu) ini menekankan konsep whole-of-nation (keseluruhan negara) melibatkan sektor swasta dan Integrated (Bersepadu) pula ialah konsep whole-of-government (keseluruhan kerajaan) membabitkan integrasi antara jabatan kerajaan.”

Katanya, Inisiatif Iltizam Perkhidmatan Awam akan diperkenalkan pada suku pertama tahun depan.

Inisiatif itu merupakan kenyataan tegas dan komitmen kerajaan untuk lebih fleksibel, dinamik serta menuntut agensi sektor awam menyemak dan meneliti semula peraturan bagi tempoh tertentu supaya seiring perubahan persekitaran.

Untuk memperkasa sinergi awam dan swasta, beliau menekankan kepentingan kerjasama awam-swasta dalam pembangunan negara, selaras Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (Pikas2030) yang dilancarkan September lepas.

“Kerajaan memainkan peranan menyediakan dasar dan undang-undang fleksibel, meminimumkan kerenah birokrasi serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan sosial rakyat. Sektor swasta pula memacu pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, inovasi dan teknologi.”

Melalui sinergi ini, kerajaan menyasarkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion, menyumbang RM82 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan mewujudkan 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

“Saya yakin usaha berterusan penjawat awam bersama sokongan sektor swasta akan memacu reformasi perkhidmatan awam yang mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.