
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan mengelirukan.
Jelasnya, susulan pembentangan dapatan jawatankuasa siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac, prosiding terhadap Azam telah pun dimulakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Prosiding ini melibatkan proses dan tatacara yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Shamsul berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg berhubung laporan berkenaan.
Penafian itu dibuat susulan laporan Bloomberg semalam yang mendakwa Anwar kononnya menggesa pegawai supaya menangguhkan pendedahan dapatan siasatan terhadap pemilikan saham Azam, sementara menunggu siasatan berasingan berhubung dakwaan pakatan sulit melibatkan beberapa ahli perniagaan dan pegawai SPRM diselesaikan.
Azam dan SPRM sebelum ini menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan tersebut.
Bloomberg turut melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham (1.7%) dalam Velocity Capital Bhd berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Feb tahun lepas.
Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak lebih 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana-mana lebih rendah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa beliau sudah mengisytiharkan urus niaga tersebut dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu.
Peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporan tersebut, menuntut ganti rugi RM100 juta.
Bloomberg pula mempertahankan laporannya.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Azam, dan hasil siasatan itu akan diteliti oleh Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).