
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan BDR secara berperingkat dan terpilih antara langkah-langkah yang kerajaan sedang fikirkan, dalam mendepani krisis tenaga global lantaran konflik berlarutan di Asia Barat.
“Langkah-langkah lain sedang difikirkan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah — penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah,” katanya dalam perutusan khas petang tadi.
“Selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.”
Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan akan terus menjaga disiplin perbelanjaan, mengelak keborosan dan ketirisan.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan penyelarasan kelayakan subsidi di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95), antara lain.
Kesesuaian BDR bagi sektor awam antara langkah diperhatikan kerajaan Malaysia, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selepas kerajaan Thailand mengarahkan agensi persekutuan negara itu segera laksana BDR bagi menjimatkan tenaga.