
Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong, berkata segala usaha harus berpusat kepada kebersamaan tanpa mengehadkan penglibatan mana-mana pihak.
“Setiap parti dalam kerajaan perpaduan membawa kekuatan tersendiri dan semua pihak perlu diberi peluang untuk menyumbang demi kejayaan bersama,” katanya dalam kenyataan.
Adun Kota Darul Aman berkata, kerjasama perpaduan yang terjalin antara kedua-dua parti adalah langkah strategik untuk memenangi semula kepercayaan rakyat Kedah.
Beliau berkata, parti terbabit harus memanfaatkan tempoh masih ada untuk memperbaiki kelemahan, termasuk usaha mengukuhkan semangat akar umbi dan meningkatkan penerimaan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
“Fokus utama mestilah kepada pelaksanaan dasar yang memenuhi keperluan rakyat dan membawa pembangunan mampan di Kedah.
“Dengan fokus kepada isu-isu ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat, gabungan ini berpotensi menjadi pilihan utama rakyat Kedah pada PRU akan datang,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Pemuda Umno Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad, berkata DAP harus memberi laluan kepada parti lain dalam kerajaan perpaduan jika berhasrat merampas Kedah daripada Perikatan Nasional (PN).
Katanya, senario politik di Kedah memerlukan pendekatan sedikit berbeza antara BN-PH, dan kerjasama boleh diteruskan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Ini selepas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim mencadangkan Umno mempertimbang semula kerjasama dengan kerajaan perpaduan jika berhasrat menjadi ‘bos’ di Malaysia.
Beliau turut menyifatkan parti tu merupakan ‘isteri ketiga’ dalam kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.