‘Kenapa Taliban’, Guan Eng tuntut penjelasan Fadhlina

‘Kenapa Taliban’, Guan Eng tuntut penjelasan Fadhlina

Pengerusi DAP tuntut jawapan menteri pendidikan berkait lawatan Kementerian Pendidikan Afghanistan.

02 guan eng and fadhlina 260724
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata penjelasan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek penting bukan sahaja sebagai wakil rakyat tetapi seorang yang memandang serius hak asasi manusia khususnya wanita.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dituntut memberikan penjelasan berhubung keputusan menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata penjelasan Fadhlina penting bukan sahaja sebagai wakil rakyat tetapi seorang yang memandang serius hak asasi manusia khususnya wanita.

“Saya ingin bertanya mengapa Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan lawatan sedemikian, lebih lagi daripada sebuah negara yang tak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Pada masa sama lebih penting sebuah negara yang menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Lim berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam Afghanistan pimpinan Taliban bahawa tindakan sedemikian adalah sama seperti aparteid jantina.

“Jadi, saya mengharapkan satu penjelasan boleh diberikan kepada rakyat negara ini kerana kita amat prihatin.

“Delegasi itu menimbulkan persoalan kerana tidak dimaklumkan kepada umum, termasuk dilibatkan sama Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh,” katanya.

Pada 16 Nov lalu, Fadhlina mengesahkan KPM menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.

Beliau berkata, lawatan itu sudah berakhir dan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan.

Menurutnya, delegasi itu turut menyertai beberapa siri perbincangan mengenai pendidikan semasa mereka berada di sini.

Dalam pada itu, Lim berharap Fadhlina memberikan penjelasan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat esok atau minggu depan.

“Sebagai seorang menteri wanita, saya percaya menteri pendidikan sangat prihatin mengenai perkara ini. Kita nak tahu apakah tujuan, objektifnya kerana saya menerima banyak soalan mengenai perkara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.