Keadaan banjir 3 negeri tak banyak berubah

Keadaan banjir 3 negeri tak banyak berubah

Jumlah mangsa banjir di Kelantan seramai 80 orang, Terengganu (55 orang) dan Johor (28 orang).

banjir kelantan
Penduduk Kampung Tersang di Pasir Mas menaiki perahu pulang ke rumah semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Johor tidak banyak perubahan setakat 9 pagi tadi.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 80 orang daripada 20 keluarga berbanding 76 mangsa malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 36 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh di Pasir Mas, manakala 44 mangsa (12 keluarga) di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor di Bachok.

Berdasarkan portal Public InfoBanjir, dua sungai utama di Kelantan melepasi paras amaran, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dengan ketinggian 8.27m dan Sungai Semerak di Pasir Puteh pada paras 2.35m.

Selain itu, dua sungai di tahap berjaga-jaga, iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dengan ketinggian 2.02m dan Sungai Melor di Bachok (7.01m).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit peningkatan kepada 55 orang berbanding 51 orang malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan 55 mangsa daripada 14 keluarga itu ditempatkan di dua PPS, iaitu SK Rawai dan Dewan Sivik Merchang.

Semakan di portal InfoBanjir mendapati paras air di tiga lokasi, iaitu Parit Utama di Padang Kemunting (F1), Kuala Nerus; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Besut di Kampung La (F2), Besut melepasi paras waspada.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 28 orang daripada lapan keluarga setakat 9 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Azmi Rohani, berkata semua mangsa ditempatkan di Balai Raya Batu Badak, dengan sebuah kawasan terjejas, iaitu Kampung Seberang Batu Badak.

“Hanya sebatang sungai di paras amaran, iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak manakala cuaca pagi ini cerah di semua daerah, kecuali Mersing berkeadaan mendung,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.