
Sumber enggan dinamakan itu merujuk kenyataan Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik ke jawatan itu.
Hamzah Zainudin akan melepaskan jawatan setiausaha agung kerana bakal menjadi timbalan presiden Bersatu susulan kemenangannya pada pemilihan parti awal bulan ini.
“Tindak balas itu dibuat kerana tak puas hati, tetapi secara terhormat bukan biadab.
“Saya tak pasti mengapa (tergesa-gesa) diumumkan Azmin turut jadi setiausaha agung PN, tapi nampaknya PAS tak selesa,” katanya kepada FMT merujuk pengumuman Muhyiddin yang juga pengerusi PN.
Menurut Sinar Harian, Muhyiddin mengesahkan Azmin akan dilantik sebagai setiausaha agung Bersatu dan PN dengan pengumuman rasmi mengenainya bakal dibuat dalam masa terdekat.
Susulan itu, Afnan yang juga ketua Pemuda PN mencadangkan Takiyuddin pengganti Hamzah, sesuai pengalaman dan senioriti dalam PN, selain kedudukan sebagai timbalan setiausaha agung.
Perlu runding semua komponen
Sumber itu berkata, mengikut amalan sebelum ini merujuk pelantikan Hamzah, keputusan dibuat selepas perbincangan diadakan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi selepas mengambil kira pandangan semua komponen.
“Pemilihan setiausaha agung PN bukan melalui lantikan presiden Bersatu saja, (jawatan itu) kena runding dan bincang. Macam pelantikan ketua pembangkang dan setiausaha agung PN sebelum ini, dirunding sebab PAS sendiri setuju lantik Hamzah,” dedahnya.
Sumber berkata, perkembangan terbabit dibimbangi mencetuskan jurang kepercayaan PAS terhadap Bersatu terutama Muhyiddin, jika serang menyerang antara satu sama lain terus berlaku.
“Sebelum ini kenyataan Peja (Muhyiddin tetap calon perdana menteri dari PN) telah mencetuskan situasi pemimpin PN berbalas pendapat,” katanya merujuk Ahmad Faizal Azumu, naib presiden Bersatu.
“Sekarang isu Tan Sri (Muhyiddin) lantik jawatan setiausaha agung PN tanpa rundingan,” katanya.
Minggu lalu, Utusan Malaysia memetik Mursyidul Am PAS Hashim Jasin sebagai berkata, PAS lebih layak memimpin PN kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen dan mempunyai jentera akar umbi kuat, sebagai membalas kenyataan Faizal itu.
Hashim berkata, PAS juga tiada rekod atau masalah lompat parti berbanding Bersatu yang ketika ini terbukti banyak kepincangan.
Kenyataan itu ditepis Presiden Gerakan Dominic Lau yang mempertahankan Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ PN untuk menghadapi PRU16.
PAS ketika ini memiliki 43 kerusi Parlimen iaitu terbesar dalam PN berbanding 31 dimenangi Bersatu pada PRU15, namun berkurangan kepada 25 selepas enam wakil rakyatnya menyokong Anwar Ibrahim.