
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata tindakan itu bertujuan memastikan Hamzah tidak lagi mempunyai jaringan sokongan dalaman yang mampu mencabar kepimpinan presiden, memandangkan kuasa memecat ahli dianggap sebagai senjata paling ampuh untuk melemahkan lawan politik dalam parti.
“Bersatu di ambang krisis sudah lama kerana pertembungan kem Muhyiddin dan Hamzah. Sebab itu dikatakan seboleh-bolehnya Muhyiddin mahu berpegang kepada jawatan presiden, kerana kuasa untuk memecat itu adalah kuasa yang amat ampuh sekali untuk melemahkan lawan politik beliau,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas tindakan Bersatu memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Saifuddin Abdullah kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti, namun kesalahan itu tidak diperincikan.
Kelmarin, bekas menteri itu yang juga telah digugurkan jawatan sebagai ketua Perikatan Nasional Pahang berkata akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pemecatannya.
Saifuddin dipanggil menghadap lembaga disiplin selepas secara terbuka menggesa Muhyiddin, yang ketika itu pengerusi PN meletakkan jawatan.
Untuk rekod, Saifuddin menjadi Ahli Parlimen kedua dipecat Bersatu. Oktober lalu parti itu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama sepenggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sementara itu, penganalisis politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, yang senada dengan Azmi berkata pemecatan memberi gambaran wujud pembersihan terhadap kem Hamzah yang berpotensi mengukuhkan pengaruh Muhyiddin.
Perunding kanan Global Asia Consulting berkata, naratif itu boleh mencetuskan persepsi Bersatu sedang berdepan perpecahan dan ketidakstabilan yang akan menjejaskan keyakinan pengundi serta rakan gabungan dalam PN.
“Muhyiddin mungkin dilihat lebih dominan, tetapi lawan politik akan menggunakan naratif ini untuk menyerang kredibiliti Bersatu.
“Untuk kesan jangka panjang, jika tidak diurus dengan baik, parti boleh kehilangan sokongan pengundi muda dan profesional yang mahukan kepimpinan lebih inklusif. Terbuka dikritik,” katanya.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpendapat, tindakan itu lebih didorong usaha parti untuk mengekalkan disiplin dan kesepaduan dalaman, bukan langkah khusus bagi ‘memutihkan’ kem tertentu.
Katanya, Saifuddin sebelum ini antara pemimpin lantang mengkritik parti dan presiden, sekali gus menjadikan beliau sasaran tindakan disiplin dalam parti yang bersifat hierarki dan dikawal dari atas.
“Tindakan itu lebih kepada usaha Bersatu untuk mengekalkan disiplin dalaman kerana hakikatnya Bersatu merupakan sebuah parti yang bersifat elitis dan dikawal dari atas ke bawah. Kesatuan dalam kalangan kepimpinan tertinggi adalah perkara paling utama,” katanya.