Afnan akur jika cadangan lantik Takiyuddin setiausaha agung PN ditolak

Afnan akur jika cadangan lantik Takiyuddin setiausaha agung PN ditolak

Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden dari PAS berkata beliau akan menerima sesiapa sahaja dilantik menggantikan Hamzah Zainudin.

Selasa lalu, Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Takiyuddin Hassan dilantik setiausaha agung PN.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PAS Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata beliau akur jika cadangannya supaya pemimpin partinya Takiyuddin Hassan dilantik setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) ditolak.

Ketua Pemuda PN itu berkata beliau tiada masalah dan akan menerima sesiapa sahaja dilantik ke jawatan terbabit menggantikan Hamzah Zainudin yang bakal menduduki kerusi timbalan presiden Bersatu.

“Kami hanya cadang sahaja, jika ditolak tiada masalah. Kalau diterima Alhamdulillah…sesiapa yang diputuskan kami akan akur.

“Ini semangat kami dalam PN dan tiada parti jadi abang besar macam sesetengah parti berkuasa sekarang.

“Kami boleh berbincang cara adik beradik. Kami ada usrah Ahli Parlimen PN…parti lain saya tak nampak ada usrah begitu,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mencadangkan Takiyuddin dilantik setiausaha agung PN sesuai dengan pengalaman dan senioriti dalam komponen dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu adalah setiausaha agung PAS.

Kenyataan itu menyusul laporan Sinar Harian yang melaporkan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mengesahkan Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali bakal dilantik setiausaha agung Bersatu dan PN.

Susulan itu, ada dakwaan perkara itu mengundang rasa tidak senang PAS kerana pengumuman Azmin bagi jawatan tersebut dibuat tanpa rundingan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Rosol Wahid dipetik berkata pengumuman Muhyiddin mungkin hanya di peringkat cadangan sebelum disahkan dalam mesyuarat Bersatu dan PN.

Minggu lalu, beberapa pemimpin PN antaranya Timbalan Presiden Faizal Azumu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Presiden Gerakan Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung isu pengerusi PN dan calon perdana menteri mereka untuk PRU16.

Faizal dan Lau mempertahankan Muhyiddin manakala Hashim menegaskan PAS lebih layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi kuat, selain mendesak perbincangan mengenainya diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.