
Menurut The Straits Times, pasangan itu melarikan diri selama 19 tahun menggunakan identiti berbeza.
SPRM menyerahkan suami isteri itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura pada hari sama.
Ng, 58, pernah menjadi CEO dan presiden syarikat tersenarai ketika itu, Citiraya Industries yang menceburi perniagaan kitar semula dan mendapatkan semula logam berharga daripada sekerap elektronik, seperti cip komputer terpakai.
Tetapi, Ng yang sepatutnya mendapatkan semula logam berharga daripada sekerap, didakwa menjualnya ke luar negara. Thor, 55, didakwa bersubahat dengannya.
Mereka melarikan diri dari Singapura apabila CPIB mula menyiasat kes berkenaan pada 2005.
Pada 2008, siasatan mendedahkan Ng dikatakan meraih lebih USD51 juta, sekitar SGD72 juta pada masa itu, daripada skimnya.
Pasangan itu dijangka didakwa hari ini.
Difahamkan, Ng akan didakwa atas tuduhan pecah amanah, manakala Thor bakal berdepan satu pertuduhan di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) Singapura.
Ng didakwa merasuah beberapa individu sebagai sebahagian skimnya, dengan 12 orang sudah dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan hingga lapan tahun atas pembabitan mereka.
Ng, yang disifatkan dalang sindiket itu, didakwa membayar hampir SGD2 juta sebagai rasuah kepada pekerjanya dan beberapa pekerja pelanggannya.
Modus operandi
Ng didakwa mengeluarkan sebahagian sisa elektronik diterima syarikat itu dengan meminta abangnya, yang juga pengurus besar Citiraya ketika itu, menghantar bahan berkenaan ke gudang milik abang ipar Ng.
Menurut CPIB, Ng menjual sekerap itu kepada sindiket di Taiwan dan Hong Kong, sebelum dibungkus semula dan dijual sebagai produk baharu.
Salah laku Ng terdedah susulan satu aduan pada Disember 2004, apabila sekeping cip daripada pelanggan berpangkalan di AS yang sepatutnya dihapuskan ditemui di Taiwan berikutan pemeriksaan polis.
CPIB kemudian mendedahkan Ng didakwa menyalahgunakan kira-kira 89 tan atau 62 penghantaran sisa elektronik antara 2003 dan 2004.
Rampasan aset
Pada 2011, satu perintah dikeluarkan untuk merampas aset Ng bernilai SGD23 juta, termasuk yang didaftarkan di bawah nama isterinya. Ia rampasan aset terbesar seseorang individu, berdasarkan rekod CPIB.
Aset itu termasuk wang dalam pelbagai akaun, polisi insurans, saham dalam pelbagai firma, hasil daripada jualan banglo dan kediaman seluas 7,300 kaki persegi di Paya Lebar.