
Menerusi jawapan lisan Dewan Rakyat, Dzulkefly berkata setakat September lalu sebanyak 355 pelbagai aduan direkodkan menerusi sistem itu yang diwujudkan pada Okt 2022 sebagai saluran bagi kakitangan melaporkan terus kes buli kepada Unit Integriti tanpa melalui ketua jabatan.
“Berdasarkan pecahan, empat aduan berkaitan unsur buli yang didapati berasas dan tindakan diambil mengikut Peraturan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau peraturan lain yang berkuat kuasa.
“Enam aduan dalam peringkat siasatan untuk pengesahan dan pembuktian sama ada benar-benar perbuatan buli atau tidak, manakala baki 345 aduan berkait hal-hal perkhidmatan, permohonan kenaikan pangkat, pertukaran, kepincangan pengurusan, isu komunikasi dan lain-lain,” katanya.
Dzulkefy menjawab soalan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta KKM menyatakan statistik dan kaedah menangani kes buli membabitkan pakar, pegawai perubatan, pegawai
perubatan pelatih dan paramedik.
Beliau turut menjelaskan kes membabitkan pegawai perubatan siswazah diuruskan menerusi Jawatankuasa Latihan Pegawai Perubatan Siswazah di peringkat hospital, manakala khidmat sokongan diberikan menerusi Program House Officer Encouragement and Reassurance Through Sharing and Support (HEARTS).
“Ini bagi membantu pegawai mengadaptasi dengan persekitaran kerja di hospital,” katanya.
Menyentuh langkah membantu petugas kesihatan menghadapi isu kesihatan mental termasuk buli, Dzulkefly menjelaskan KKM, menyediakan sokongan antaranya intervensi awal melalui Talian Krisis Kesihatan Mental atau dikenali sebagai Talian HEAL 15555.
KKM juga memperluas perkhidmatan kaunseling oleh pegawai psikologi terlatih serta Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), saringan kesihatan mental kendiri menerusi platform digital dan mewujudkan pasukan khas di setiap negeri serta daerah.