DAP Sabah diberi mandat tentu kedudukan dalam kerajaan negeri

DAP Sabah diberi mandat tentu kedudukan dalam kerajaan negeri

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti telah diberi penerangan berkait dakwaan rasuah perlombongan mineral di Sabah.

Sabah mempunyai dua wakil dalam kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah iaitu Adun Luyang Phoong Jin Zie and Adun Likas Tan Lee Fatt.
PETALING JAYA:
DAP Sabah diberi mandat mengkaji kedudukannya dalam pentadbiran Sabah susulan dakwaan rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa Adun kerajaan di negeri itu.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang bermesyuarat malam tadi telah diberi penerangan secara terperinci oleh Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe.

“CEC menegaskan pendirian DAP yang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan serta menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes tersebut dengan tegas.

“CEC telah memberikan mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan DAP dalam pentadbiran kerajaan Sabah dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

DAP mempunyai dua wakil dalam kerajaan Sabah iaitu Phoong sebagai menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan manakala Adun Likas Tan Lee Fatt diberi amanah timbalan menteri kewangan.

Penyertaan mereka susulan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas kegagalan gerakan politik dikenali ‘Langkah Kinabalu’ didakwa dirancang Umno pada Jan tahun lalu.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan ada lapan video daripada pemberi maklumat menunjukkan perbincangan antara ahli perniagaan dan Adun mengenai rasuah untuk lesen projek.

Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata anak guamnya bersedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki membidas helah itu dan meminta bukti diberikan supaya siasatan dapat dibuat segera.

Kelmarin, Azam mengesahkan pemberi maklumat itu masih enggan menyerahkan bukti yang dimilikinya.

Ketua Menteri Hajiji Noor menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan membantu SPRM menyiapkan siasatan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.