Umno Sabah tiada hak tentukan defisit kepercayaan terhadap Hajiji, kata Kitingan

Umno Sabah tiada hak tentukan defisit kepercayaan terhadap Hajiji, kata Kitingan

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan berkata nasib Hajiji Noor patut ditentukan pengundi.

Jeffrey Kitingan Hajiji Noor
Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata hanya pengundi Sabah boleh menentukan sama ada Ketua Menteri Hajiji Noor terus mendapat kepercayaan mereka.
PETALING JAYA:
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan mempertahankan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang didesak meletak jawatan selepas seorang ahli Umno mendakwa wujud defisit kepercayaan terhadap pemimpin itu.

Kitingan tegas menolak dakwaan Bendahari Pemuda Umno Naim Kurniawan Moktar dengan berkata beliau bukan orang sesuai untuk menghukum sama ada Hajiji telah hilang kepercayaan orang Sabah.

“Tiada keperluan untuk Hajiji meletak jawatan.

“Sama ada Hajiji berdepan defisit kepercayaan berhubung dakwaan skandal terhadapnya patut ditentukan orang awam, bukannya Naim,” kata timbalan ketua menteri itu kepada FMT.

Kitingan yang juga timbalan pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berkata, desakan untuk seorang pemimpin kanan meletak jawatan hanya boleh dibuat dalam keadaan istimewa, contohnya jika pemimpin itu didakwa di mahkamah. Selain itu, dakwaan berkenaan mesti dibuat dengan niat baik.

Beliau mempertikai niat Naim dan berkata, bapanya Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin sebelum ini pernah cuba menggulingkan Hajiji.

Pada Isnin, Naim sekali lagi mengulangi desakannya supaya Kitingan menggantikan Hajiji apabila mendakwa pengerusi GRS itu mengalami defisit kepercayaan. Katanya, Kitingan patut mengambil alih untuk melindungi ekonomi Sabah.

Sayap Pemuda negeri itu sebelum ini menuntut Hajiji meletakkan jawatan susulan dakwaan skandal perlombongan yang dikatakan melibatkan beberapa Adun.

Sabtu lalu, Kitingan mengkritik Naim kerana mencadangkan beliau mengambil alih pemerintahan daripada Hajiji untuk sementara waktu dengan berkata kenyataan seperti itu tidak wajar kerana dibuat berdasarkan dakwaan yang tidak dibuktikan.

Minggu lalu, STAR menyuarakan sokongan kepada Hajiji dengan Timbalan Ketua Penerangannya Ardino Diris menuduh Umno sebagai ‘tangan ghaib’ dalam politik Sabah.

Ardino berkata, desakan supaya Hajiji berundur hanya bermotifkan politik, namun Umno Sabah menafikan menjadi dalang dalam perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.