
Dr Wan Azizah Wan Ismail, Loke Siew Fook, dan Mohamad Sabu berkata keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh itu dibuat Mahathir sendiri tanpa dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Ketika itu, Wan Azizah, Loke, dan Mohamad adalah timbalan perdana menteri, menteri pengangkutan dan menteri pertahanan.
“Keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran telah pun dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.
“Ia juga turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Jemaah Menteri pertama diadakan,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Katanya, selang dua hari kemudian, barulah Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat itu tetapi ia hanya pemakluman bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.
“Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia dibuat secara bertulis oleh Mahathir.
“Sebagai negarawan, kami berpandangan Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih untuk meletakkan di bahu mereka yang tidak terlibat,” katanya yang turut menambah Jemaah Menteri yang hadir dalam mesyuarat pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara itu.
Pada Selasa lalu, Mahathir berkata keputusan berkait pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri, termasuk Wan Azizah.
Mahathir juga menafikan membuat keputusan unilateral membatalkan permohonan menyemak dan mentafsir keputusan ICJ mengenai Batu Puteh, dan berkata, selain Wan Azizah, Lim Guan Eng yang merupakan menteri kewangan ketika itu, dan Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri turut menghadiri mesyuarat membincangkan perkara itu.