
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau ‘agak hairan’ ketiga-tiga bekas menteri itu memberi alasan mereka gagal menyuarakan pandangan kerana hanya ‘dimaklumkan’ tentang keputusannya.
Beliau mempersoalkan sama ada sesuatu isu itu tidak boleh dibahaskan setelah dimaklumkan.
“Apakah mereka perlu saya beritahu bahawa mereka perlu beri pendapat atau pandangan baru mereka akan berbuat demikian?” soal Mahathir dalam kenyataan menerusi peguamnya, Rafique Rashid.
“Jika pandangan saya terhadap isu tersebut salah atau tidak mereka persetujui mereka tidak akan bangkang atau beri pendapat kerana saya hanya maklum?”
Mahathir berkata, menteri-menteri perlu memberi perhatian ketika mesyuarat Jemaah Menteri dan menyuarakan pandangan mereka jika ada.
Jika menteri berdiam diri atau tidak menyatakan bantahan, ‘maka ianya diterima sebagai mereka bersetuju dengan apa yang dimaklum atau dibentang’, tambahnya.
“Seingat saya, di dalam mesyuarat tersebut, diminitkan bahawa kesemua anggota termasuk yang bertiga itu, mereka semua bersetuju dengan pandangan/makluman saya terhadap isu itu,” katanya.
Awal hari ini, Dr Wan Azizah Ismail, Loke Siew Fook dan Mohamad Sabu berkata, mereka hanya dimaklumkan mengenai keputusan Mahathir untuk tidak meneruskan permohonan menyemak dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Batu Puteh pada 2008.
Mereka juga berkata, isu sama ada membantah atau menyokong keputusan itu tidak timbul kerana tidak wujud ‘ruang membuat keputusan’ memandangkan Mahathir sudah menyatakannya secara bertulis.
Pada masa itu, Wan Azizah, Loke dan Mohamad masing-masing merupakan timbalan perdana menteri, menteri pengangkutan dan menteri pertahanan.
Pada Selasa, Mahathir menafikan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa beliau bertindak secara unilateral apabila memutuskan tidak meneruskan permohonan agar ICJ menyemak keputusannya menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.
Mahathir berkata, Wan Azizah, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, dan bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin antara yang hadir pada mesyuarat Jemaah Menteri ketika isu itu dibangkitkan.
Menurut RCI, Mahathir sebagai perdana menteri ketika itu menulis kepada peguam cara negara pada 21 Mei 2018, menyatakan bahawa pada pandangan beliau, ‘usaha ini tidak perlu diteruskan’, merujuk kepada permohonan semakan keputusan ICJ.
Tambahnya, Singapura dimaklumkan bahawa Malaysia akan menggugurkan kedua-dua permohonan itu pada 9 pagi 23 Mei 2018, sedangkan Jemaah Menteri hanya bermesyuarat pada 9.30 pagi hari itu dan membincangkan isu itu kemudian bawah ‘hal-hal lain’.