
Najib berkata perbualannya dengan Low berlaku pada pertengahan 2010, beberapa bulan selepas bekas perdana menteri itu menerima anugerah Darjah Kebesaran Raja Abdulaziz daripada Almarhum Raja Abdullah.
Beliau berkata Raja Abdullah telah ‘meyakinkan saya bahawa baginda akan memberikan sokongan kepada saya untuk memimpin sebuah negara Islam yang sederhana’, ketika pertemuan persendirian dengan delegasi Malaysia sejurus selepas majlis anugerah itu.
“Pada masa itu saya difahamkan sumbangan itu bertujuan untuk tujuan politik dan aktiviti CSR (tanggungjawab sosial korporat),” katanya.
Delegasi Malaysia termasuk Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi ketika itu, Syed Omar Al-Saggaf, bekas menteri agama Jamil Khir dan menteri luar negeri ketika itu Anifah Aman.
Najib juga memberitahu mahkamah bahawa beliau telah membuka akaun dengan AmBank untuk menerima sumbangan masuk pada tahun yang sama.
“Saya tidak meragui Jho Low menjadi wakil (mengenai derma masuk) kerana beliau rapat dengan Raja Abdullah,” katanya.
Najib berkata pengarah urusan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang datang ke rumahnya pada 2011 untuk memudahkan proses pembukaan akaun.
“Encik Cheah memperkenalkan dirinya dan berkata dia telah membawa borang yang berkaitan untuk saya.
“Dalam perbualan kami, saya memaklumkan kepadanya bahawa saya menjangkakan untuk menerima derma Saudi dan memintanya untuk memaklumkan BNM (Bank Negara Malaysia).
“Saya mengambil langkah ini kerana saya mahu memastikan ketelusan penuh,” tambahnya.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan akan bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.