
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin memberitahu sidang media di bangunan Parlimen hari ini, jawatankuasa itu akan memulakan siasatan terhadap lima isu baharu bermula 3 Feb hingga 6 Mac tahun depan.
Beliau berkata, PAC akan meneliti pelaburan domestik oleh Khazanah bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
Jawatankuasa itu juga akan meneliti perolehan kereta api penumpang melalui perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan China melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Aset Keretapi dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Dilaporkan pada November bahawa PAC akan memanggil Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berhubung kerugian RM43.9 juta berikutan pelaburan dalam Fashion Valet Sdn Bhd.
Khazanah melabur RM27 juta manakala PNB RM20 juta untuk kepentingan minoriti dalam syarikat runcit fesyen tempatan itu pada 2018. Bagaimanapun, mereka menjual pegangan kepada NXBT Partners tahun lepas dengan hanya RM3.1 juta.
Sementara itu pada Ogos, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, Malaysia akan memeterai perjanjian pajakan RM10.7 bilion dengan China bagi memperoleh tambahan 62 kereta api penumpang untuk KTMB.
Beliau berkata, jumlah itu akan dibayar secara ansuran dalam tempoh 30 tahun, manakala kos sebenar akan dimuktamadkan selepas rundingan dengan kerajaan China selesai.
Mas Ermieyati juga hari ini berkata, PAC akan memulakan siasatan terhadap pengurusan lapangan terbang melibatkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Kementerian Kewangan dan Khazanah.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Julai menggesa PAC agar menyiasat penswastaan MAHB, khususnya rasional menjual 30% saham MAHB kepada Abu Dhabi Investment Authority dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Syarikat pelaburan global BlackRock, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel dan tenteranya, memuktamadkan pengambilalihan GIP pada Oktober.
GIP dan Abu Dhabi Investment Authority memperoleh 30% kepentingan dalam MAHB melalui konsortium yang diketuai oleh Khazanah. Selebihnya dimiliki oleh Khazanah (40%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (30%).
PAC juga akan meneliti isu pembangunan tanah di Kuala Lumpur, yang terletak bawah bidang kuasa Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Isu baharu kelima yang akan disiasat jawatankuasa itu ialah ekosistem penjagaan kesihatan swasta, termasuk mekanisme kawal selia, rangka kerja perundangan, kaedah pembiayaan, insurans perubatan, serta implikasi peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta ke atas hospital awam.
Apabila ditanya siapa yang akan dipanggil untuk siasatan baharu itu, Mas Ermieyati berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
“Kami akan tentukan isu-isu itu kemudian membincangkan siapa yang perlu dipanggil sebagai saksi bagi setiap prosiding,” katanya.