Pengurus, penyelia kilang ditahan bantu siasatan sungai tercemar

Pengurus, penyelia kilang ditahan bantu siasatan sungai tercemar

JAS Pasir Gudang menahan kedua-dua kakitangan kilang oleokimia itu bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sampel sisa buangan di sungai tercemar telah dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya, untuk dianalisis, menurut JAS. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan pengurus dan penyelia sebuah kilang oleokimia di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang semalam, bagi membantu siasatan kes pencemaran sebatang sungai.

JAS Pasir Gudang memaklumkan, siasatan ke atas premis itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai pencemaran Sungai Buloh, yang terletak berhampiran kawasan perindustrian itu.

Menurut JAS, siasatan mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna coklat daripada sistem pengolahan efluen premis yang tidak berfungsi dan sampel sisa buangan itu telah dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya, untuk dianalisis.

“Pemeriksaan berkenaan turut disertai penguat kuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan polis, dengan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap premis itu dikenakan untuk menghentikan pencemaran,” menurut kenyataan JAS.

JAS Pasir Gudang memaklumkan, tangkapan ke atas dua individu yang disyaki itu dibuat mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk membantu siasatan kes pencemaran sungai bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.