
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri adalah tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif.
“Tak timbul soal perdana menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri. Soal pengkhianatan kepada negara juga tidak timbul,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
“Malah tidak wajar seorang bekas perdana menteri dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan oleh Jemaah Menteri semasa pentadbirannya … ini duluan yang buruk untuk negara.”
Muhyiddin menegaskan, mana-mana anggota Jemaah Menteri dialu-alukan memberikan pandangan dalam agenda hal-hal lain walaupun perkara tersebut dibawa oleh perdana Menteri ketika mesyuarat.
“Apabila Jemaah Menteri membuat keputusan mengenainya, menjadi tanggungjawab setiap anggota Jemaah Menteri menerima keputusan tersebut secara kolektif,” katanya.
Terdahulu, tiga bekas anggota Jemaah Menteri ketika pentadbiran kedua Mahathir, iaitu Dr Wan Azizah Ismail, Loke Siew Fook dan Mohamad Sabu berkata, mereka tidak diberi ruang membuat keputusan mengenai pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh.
Menurut mereka, keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dibuat Mahathir sendiri, tanpa dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, Mahathir kemudian menyatakan rasa ‘hairan’ dengan alasan ketiga-tiga bekas menteri itu bahawa mereka tidak dapat memberikan pandangan berhubung isu itu dalam mesyuarat kerana ia sekadar makluman.
Beliau bertanya sama ada menteri-menteri perlu diberitahu untuk bersuara sama ada menyokong atau membantah.
Jika menteri berdiam diri atau tidak menyatakan bantahan, ‘maka ianya diterima sebagai mereka bersetuju dengan apa yang dimaklum atau dibentang’, katanya.
Pada Selasa, Mahathir menafikan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa beliau bertindak secara unilateral apabila memutuskan tidak meneruskan permohonan agar ICJ menyemak keputusannya menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.
Mahathir berkata, Wan Azizah, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, dan bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin antara yang hadir pada mesyuarat Jemaah Menteri ketika isu itu dibangkitkan