
Sebelum ini, katanya, terdapat laporan EIA yang ditolak untuk projek berkenaan di lokasi yang sama.
“Selepas itu, ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru sahaja menerima sekali lagi, cadangan projek berkenaan yang bertajuk ‘Proposed Bauxite Mining Operation in Bukit Goh, Kuantan within area of 2,424.73 hectares in Mukim Kuala Kuantan, district of Kuantan, Pahang’ pada 24 Sept lepas.
“Penggerak bagi cadangan projek ini ialah BG Mining Sdn Bhd,” katanya menjawab soalan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) tentan kelulusan EIA yang baru diberikan kepada projek perlombongan bauksit di kawasan itu di Dewan Rakyat.
Nik Nazmi berkata, kebiasaannya setiap laporan EIA akan dinilai dan dibincang secara terperinci ketika Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesan Kepada Alam Sekeliling bersama agensi kerajaan lain, termasuk agensi teknikal peringkat persekutuan atau negeri, individu-individu yang dilantik atau NGO.
“(Jawatankuasa) akan pertimbangkan semua ulasan dan syor daripada semua pihak terlibat sebelum keputusan dibuat terhadap laporan EIA yang diterima,” katanya.
Beliau berkata, bagi mempertingkat EIA supaya lebih efektif, kerajaan menggariskan lima keutamaan dalam hal berkenaan, iaitu memperkukuh keperluan perundangan, tadbir urus dalam penilaian EIA, memperkasa prosedur EIA, pendigitalan EIA, pengukuhan libat urus awam dan pemantapan penguatkuasaan EIA
“…kita akan maklum dan akan kemas kini kepada rakyat bagaimana untuk menambah baik EIA bagi menjadikan ia lebih berkesan dalam menjaga kesihatan rakyat,” katanya.