
Ketua Pemuda Bersatu Sabah Muhd Affan Jumahat mengingatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang mengeluarkan dakwaan itu supaya melihat semula sejarah selepas PRN 2020.
Menurutnya, 11 kerusi DUN dimenangi Bersatu di bawah logo Perikatan Nasional (PN) telah menjadi ‘pelarian’ kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Fakta ini membuktikan bahawa kestabilan dan prinsip perjuangan kita tetap utuh, meskipun ada cabaran daripada pihak lain,” katanya kepada FMT yang turut meminta Puad melihat kepada keadaan Umno yang didakwanya semakin lemah.
“14 kerusi dimenangi pada PRN Sabah yang lalu adalah hasil daripada rundingan bersama PN, tanpa kerjasama itu sukar untuk Umno mencapai jumlah sebegitu.
“Apatah lagi dengan situasi semasa di mana keyakinan rakyat terhadap parti tersebut semakin merosot,” katanya yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu.
Affan juga yakin Bersatu akan mendapat sokongan di Sabah terutama dengan usahanya memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai teras utama manifestonya pada PRN.
“Perjanjian Malaysia 1963 di bawah perkara 112C juga akan menjadi faktor penting dan Bersatu Sabah yang berusaha mendekati isu itu masih mendapat sokongan rakyat yang menilai usaha tersebut.
“Sebaliknya, Umno sering dikritik kerana gagal memenuhi aspirasi rakyat Sabah sepanjang tempoh mereka memerintah,” katanya.
Kelmarin, Puad mendakwa Bersatu akan ‘bungkus’ pada PRN Sabah tahun depan kerana kebergantungannya kepada pelarian politik dan sukar mencari ‘poster boy’.
Menurutnya, Bersatu satu-satunya parti bermula dengan Adun lompat dan mendapat ‘YB percuma’ yang disifatkan pelarian, merujuk penyertaan wakil rakyat Umno selepas PRU14 di seluruh negara termasuk Sabah.
Bersatu dijangka mengetuai cabaran PN pada PRN Sabah untuk merebut 73 kerusi DUN dipertandingkan.