Kitingan nafi terbabit konspirasi jatuhkan Hajiji

Kitingan nafi terbabit konspirasi jatuhkan Hajiji

Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan berkata tangkap layar perbualan WhatsApp bertarikh 1 Nov hanya sebahagian perbualan dipetik di luar konteks.

Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan meminta rakyat Sabah tidak terpedaya dengan maklumat palsu dan menolak naratif jahat yang cuba menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan menafikan terbabit dalam konspirasi menjatuhkan Ketua Menteri Hajiji Noor, susulan tersebarnya tangkap layar perbualan WhatsApp beliau dengan seorang individu.

Tangkap layar perbualan bertarikh 1 Nov itu mendakwa Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu mengetahui lebih awal video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah berkait skandal rasuah perlombongan.

Kitingan berkata perbualan itu “hanya sebahagian perbualan dipetik di luar konteks” dan dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan bersifat “mengelirukan dan bermotifkan politik”.

“Tiada konspirasi seperti itu yang wujud atau pernah wujud. Saya percaya ia bertujuan untuk memecahbelahkan kami dan GRS serta rakyat Sabah menjelang PRN.

“Tambahan pula, tuduhan ini nampaknya disusun untuk seiring dengan tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan.

Kitingan meminta rakyat Sabah tidak terpedaya dengan maklumat palsu dan menolak naratif jahat yang cuba menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

“STAR Sabah dan saya telah memberikan sokongan penuh kepada Hajiji untuk menjadi ketua menteri pada 2020 dan sejak itu sokongan kami tidak pernah goyah walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

“Saya percaya pihak berkuasa akan mendedahkan kebenaran pada masa sesuai dan saya tetap komited untuk memupuk perpaduan, kestabilan politik, dan pembangunan berterusan Sabah,” katanya.

“Sebarang percubaan untuk memacu perpecahan antara pemimpin yang berusaha ke arah Sabah yang lebih baik tidak akan berjaya.”

Dalam tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular individu itu memaklumkan kepada Kitingan: “Perang akan bermula very soon (perang akan bermula tidak lama lagi).”

Kitingan didakwa membalas, “Bila?” sebelum individu itu menjawab, “Next week (minggu depan),” diikuti mesej “Good day boss” dan “Hajiji akan dituduh ke mahkamah.”

Tangkap layar itu tular selepas Kitingan mempertahankan Hajiji daripada desakan Umno Sabah supaya Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berundur bagi memberi ruang kepada siasatan yang telus dan bersih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.