
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata situasi itu mungkin memberi isyarat dan tekanan supaya jawatan utama dalam PN dikaji semula, empat hari selepas mesyuarat pimpinannya mengesahkan beberapa pelantikan termasuk Azmin Ali sebagai setiausaha agung.
Menurutnya, tidak mustahil tekanan sama turut membabitkan pengumuman ‘poster boy’ PN untuk PRU16 yang hangat dibincangkan antara pemimpin komponennya, bulan lalu.
“PAS perlu ke depan untuk menyuarakan kehendak mereka, bagi jawatan penting dalam PN kerana kalau lihat Bersatu buat keputusan secara unilateral walaupun PAS paling banyak kerusi (Parlimen dan DUN).
“Ini pertarungan senyap dan isyarat daripada PAS iaitu mereka akan lakukan sesuatu yang drastik untuk memaksa Bersatu berunding dulu paling tidak melepaskan jawatan setiausaha agung untuk diberikan kepada PAS,” katanya kepada FMT.
“Bagaimanapun pada pendapat saya PAS tidak seharusnya protes secara senyap kerana parti itu lebih kuat berbanding Bersatu dalam PN.”
Kelmarin, Samsuri atau dikenali Dr Sam mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai bendahari agung PN yang menimbulkan persoalan berhubung isyarat ingin disampaikan menteri besar Terengganu itu.
Selasa lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas pelantikan Azmin berkata parti itu menghormati kuasa Pengerusi PN Muhyiddin Yassin melantik pimpinan komponen terbabit.
Selain Azmin, turut diumumkan Timbalan Presiden Bersatu sebagai timbalan pengerusi PN, Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu (ketua penerangan PN) manakala Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin mengetuai sayap Wanita komponen terbabit.
Dua lagi Naib Presiden Ronald Kiandee dan Radzi Jidin dilantik anggota majlis tertinggi PN.
Selain Presiden PAS Hadi Awang sebagai timbalan pengerusi, pimpinan parti itu yang menduduki jawatankuasa PN adalah Takiyuddin Hassan (timbalan setiausaha agung) dan Sanusi Nor (ketua pengarah pilihan raya).
Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden (ketua Pemuda) dan Tuan Ibrahim serta Idris Ahmad (anggota majlis tertinggi).
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpendapat pembentukan jawatankuasa PN terbabit seolah-olah menunjukkan PAS seperti pembantu kepada Bersatu dalam gabungan.
“Bersatu nampak lebih berkuasa dengan Muhyiddin, Hamzah, Azmin, Peja (Faizal) di jawatan penting.
“Mungkin ini (Samsuri letak jawatan bendahari agung PN) sebagai satu protes sebab PN nampak didominasi Bersatu,” katanya.