
Ketuanya, Mohd Zaidi Mat Zin, berkata dalam Ops Cegah Jenayah kira-kira 9.40 malam itu, kereta jenis Perodua Axia dinaiki dua lelaki itu ditahan, sebelum pihaknya dan Agensi Antidadah Kebangsaan meminta suspek melakukan ujian saringan air kencing.
Beliau berkata, semasa suspek hendak dibawa melakukan ujian itu, kedua-duanya yang berusia 20 dan 31 tahun cuba meloloskan diri untuk masuk semula ke dalam kenderaan dengan menolak beberapa polis sehingga berlaku pergelutan.
“Akibat kejadian itu dua anggota polis terjatuh dan mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya ditahan. Tangkapan dibuat menggunakan kekerasan minimum dan tiada sebarang salah laku oleh polis,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis metamfetamina dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Justeru, Zaidi menasihati orang ramai lebih bertanggungjawab dan tidak menularkan penugasan pihak polis dengan tujuan negatif, selain memberi kerjasama kepada polis yang menjalankan tugas.
“Masyarakat juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej polis IPD Pekan,” katanya.