
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamsuri Mohd Isa, berkata mereka sebenarnya boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah-kaedah Lalu Lintas (Kaedah 42) – sekatan ke atas penunggang basikal, termasuk dikenakan tindakan sita.
Katanya, semasa sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur, semalam, kumpulan remaja itu dikesan melakukan kesalahan menunggang basikal tidak mempunyai brek, loceng, lampu, dan menunggang secara bersaing dan membahayakan.
“Seorang pegawai kanan JSPT KL bersama seorang pegawai JPJ mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit dengan memberi denda ketuk ketampi secara sukarela dan bersalaman meminta maaf kepada petugas-petugas di sekatan jalan raya itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kumpulan remaja itu disuraikan dengan peringatan tidak menunggang basikal tersebut dan terus pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, tindakan advokasi berkenaan tular dengan rata-rata warganet memuji pendekatan budi bicara, berbanding penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka.
“Advokasi seperti ini juga dapat memberi kesedaran dan membantu pesalah muda memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik,” katanya.
Zamsuri turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk lebih prihatin dan memantau anak-anak bawah jagaan.