
Demikian menurut Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) hasil pemeriksaan ke atas lori Foton yang terbabit dalam kemalangan maut itu.
Lori diperbuat pada 2023 itu sudah melakukan pemeriksaan awalan di Puspakom pada 28 Mac lalu dan pemeriksaan seterusnya dijadualkan pada 28 Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, berkata penemuan itu peringatan penting kepada pemilik kenderaan perdagangan bagi memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik dan mengikut jadual.
Menurutnya, penyelenggaraan berkala penting untuk keselamatan pemandu dan semua pengguna jalan raya.
“Puspakom komited untuk meneliti dan memperketatkan tatacara operasi kami bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa memenuhi piawaian keselamatan lebih tinggi,” katanya menurut Harian Metro.
Pada 23 Dis lalu, lima sekeluarga antara tujuh terkorban, manakala 33 lagi cedera dalam nahas sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah lori, treler, kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat kawasan rehat dan rawat Ayer Keroh.
Pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama isteri Fadzlenna Ramli, 32, Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69, dan Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Polis dilaporkan berkata, tayar depan kanan lori Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu tercabut dan berada di lorong tengah, sebelum dilanggar bas persiaran menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan serta merempuh tiga kenderaan lain.
Dalam perkembangan lain, Mahmood Razak berkata, Puspakom menyokong langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memeriksa dan memantau bengkel disyaki menyediakan perkhidmatan sewa komponen kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di Puspakom.
“Operasi ini wajar disokong semua rakyat Malaysia, termasuk pemilik kenderaan perdagangan bagi memastikan keselamatan bersama di jalan raya. Kami berharap tindakan JPJ dan KPDN dapat menghapuskan bengkel yang menjalankan perniagaan tidak bertanggungjawab ini.”
Beliau menyarankan bengkel terbabit menghentikan perkhidmatan sedemikian serta-merta kerana mereka mempertaruhkan nyawa demi keuntungan.
Tegasnya, Puspakom tidak sesekali berkompromi dalam isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sedia bekerjasama dengan JPJ serta KPDN bagi memastikan integriti lebih terjamin dan masalah itu dapat diatasi.